Custom Search

Syarat-Syarat Membuat Maksiat

Pada suatu hari Ibrahim bin Adham didatangi oleh seorang lelaki yang gemar melakukan maksiat. Lelaki tersebut bernama Jahdar bin Rabi'ah. Ia meminta nasehat kepada Ibrahim agar ia dapat menghentikan perbuatan maksiatnya.Ia berkata, "Ya Aba Ishak, aku ini seorang yang suka melakukan perbuatan maksiat. Tolong berikan aku nasihat dan cara yang terbaik untuk menghentikannya!"

Setelah merenung sejenak, Ibrahim berkata, "Jika kau mampu melaksanakan lima syarat yang ku berikan, Maka kau boleh melakukan maksiat."Tentu saja dengan penuh rasa keinginan nak tahu . Jahdar kembali bertanya, "Apakah syarat-syarat itu, ya Aba Ishak?"



SYARAT PERTAMA:


Jika engkau melaksanakan atau melakukan perbuatan maksiat, janganlah kau memakan Rezeki Allah," ucap Ibrahim.Mendengar ituJahdar mengernyitkan dahinya lalu berkata, "Lalu dari mana Aku Mahu makan? Bukankah segala sesuatu yang berada di bumi ini adalah rezeki Allah?"

"Benar," jawab Ibrahim dengan tegas. "Bila engkau telah mengetahuinya, masih pantaskah engkau memakan rezeki-Nya, sementara Kau terus-menerus melakukan maksiat dan melanggar perintah-perintahnya?""Baiklah," jawab Jahdar tampak menyerah. "



SYARAT KEDUA:


Kemudian apa syarat yang kedua?""Kalau kau bermaksiat kepada Allah, janganlah kau tinggal di bumi-Nya," kata Ibrahim lebih tegas lagi.Syarat kedua membuat Jahdar lagi terkejut. ".Syarat ini lebih hebat lagi. Lalu aku harus tinggal di mana? Bukankah bumi dengan segala isinya ini milik Allah?"

"Benar wahai hamba Allah. Karena itu, pikirkanlah baik-baik, apakah kau masih pantas memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sementara kau terus berbuat maksiat?" tanya Ibrahim."Kau benar Aba Ishak," ucap Jahdar kemudian. "Lalu apa syarat ketiga?" tanya Jahdar.



SYARAT KETIGA:


"Kalau kau masih bermaksiat kepada Allah, tetapi masih ingin memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, maka carilah tempat tersembunyi yang tak terlihat olehNya."Syarat ini membuat lelaki itu terperanjat. "Ya Aba Ishak, nasihat macam mana ini? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?"

"Bagus! Kalau kau yakin Allah selalu melihat kita, tetapi kau masih terus memakan rezeki-Nya, tinggal di bumi-Nya, dan terus melakukan maksiat kepada-Nya, pantaskah kau melakukan semua itu?" tanya Ibrahin kepada Jahdar yang masih tampak bingung dan terperanjat. Semua ucapan itu membuat Jahdar bin Rabi'ah tidak terkata dan membenarkannya."Baiklah, ya Aba Ishak, lalu katakan sekarang apa syarat keempat?"



SYARAT KEEMPAT:


"Jika malaikat maut hendak mencabut nyawamu, katakanlah kepadanya bahwa engkau belum mahu mati sebelum bertaubat dan melakukan amal saleh." Jahdar termenung. Tampaknya ia mulai menyedari semua perbuatan yang dilakukannya selama ini. Ia kemudian berkata, "Tidak mungkin... tidak mungkin semua itu aku lakukan."

"Wahai hamba Allah, bila kau tidak sanggup mengundurkan hari kematianmu, lalu dengan cara apa kau dapat menghindari kemurkaan Allah?" Tanpa banyak komentar lagi, ia bertanya syarat yang kelima, yang merupakan syarat terakhir. Ibrahim bin Adham untuk kesekian kalinya memberi nasihat kepada lelaki itu.



SYARAT KELIMA:


"Yang terakhir, bila malaikat Zabaniyah hendak menggiringmu ke neraka di hari kiamat nanti, janganlah kau ikut bersama dengannya dan menjauhinya!"

Lelaki itu nampaknya tidak sanggup lagi mendengar nasihatnya. Ia menangis penuh penyesalan dan keinsafan. dia berkata sudah pasti malaikat tidak akan membiarkan aku menolak keputusannya.Dengan wajah penuh sesal ia berkata, "Cukup…cukup ya Aba Ishak! Jangan kau teruskan lagi. Aku tidak sanggup lagi mendengarnya. Aku berjanji, mulai saat ini aku akan beristighfar dan bertaubat nasuha kepada Allah."

Jahdar memang menepati janjinya. Sejak pertemuannya dengan Ibrahim bin Adham, ia benar-benar berubah. Ia mulai menjalankan ibadah dan semua perintah-perintah Allah dengan baik dan khusyu'.


Read More......

Keajaiban Di Bumi Gaza

Sebagai seorang muslim, kita mestilah mengambil berat dan mengambil tahu tentang apa yang terjadi terhadap saudara-saudara kita di sana. Kurangkan la amik tahu pasal Ekin dah mula loya la, Norman Hakim nak kahwin dengan Mimie la, dan yang terbaru gambar separuh bogel Elizebeth Wong tersebar kat internet, bagi aku, tu semuanya tak mencambahkan pengetahuan langsung. Biar la dengan hidup diorang tu.

Ni nak beritahu sedikit pasal info terbaru yang aku petik dari akhbar tempatan. Kempen memboikot barangan Israel membuahkan hasil. Kempen ni telah memberikan kesan walaupun perlahan. Sebagai contoh, Starbuck telah mengalami kerugian dan terpaksa menutup beberapa premis mereka di seluruh dunia sebab ramai yang boikot. Ok la, berbalik pada tajuk asal. Ikuti artikel di bawah:


Al-Kisah yang telah diceritakan oleh al-fadhil Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahma,Pengerusi Ekskutif Aman Palestin dan juga merangkap Presiden Ikatan Muslimin Malaysia yang telah pergi ke Gaza pada 20-31 Januari.Berikut adalah kisah benar dari beliau dari pengalaman beliau di Gaza:


Peristiwa 1
: Seorang Ketua Mujahid Gaza berkata pada Ustaz Zaik bahawa,ketika satu pertempuran, komander mujahidin menyuruh pejuang tidak menembak kereta kebal Yahudi yang memasuki kawasan mereka.Dengan berbekalkan baki 6 RPG, tiba-tiba senjata ini menembak ke arah kereta kebal tersebut dan memusnahkan ia.Komander itu menjerit agar tidak menembak dan para pejuang berkata mereka tidak melakukannya.Mereka berkata tiba-tiba senjata mereka berfungsi dan menembak sasaran.Setelah habis adegan aneh itu,para pejuang mendapati baki 6 RPG itu masih tidak digunakan!Dan siapakah yang menembak tentera laknatullah itu???Allah hu Akhbar!


Peristiwa 2
: Temuramah bersama tentera Yahudi laknatullah oleh TV Israel yang cedera mengatakan bahawa mereka melihat pejuang Gaza kesemuanya berpakaian putih sedangakn uniform pejuang bewarna hijau!Siapakah yang berbaju putih itu???


Peristiwa 3
: Tentera Yahudi yang buta setelah serangan berkata mereka tiba-tiba dibaling pasir ke mata mereka dan tidak tahu siapakah yang melakukannya.


Peristiwa 4: Peluru berpandu yang pertama di lancarkan oleh Israel ke Gaza mengenai sasaran nya iaitu anggota tentera mereka sendiri!Ia berpatah balik!!!Allah hu Akhbar!

Peristiwa 5
: Pada permulaan perang,roket-roket Hamas yang hendak dilancarkan,tiba-tiba salah satu roket itu meluncur laju ke udara tanpa ada sesiapa yang mengaktifkan ia.Dan roket itu mengenai sasaran di Israel!!!


Peristiwa 6
: Yang paling menakjubkan,seorang ulamak Syria telah bermimpi bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan kelihatan baginda sedang mengeluarkan pedang dari sarungnya.Ulamak itu berkata "Wahai Rasulullah,kemana kamu mahu pergi?",lalu baginda menjawab "Aku mahu berperang di Gaza!!!"...masyaAllah,Rasulullah sendiri mahu berperang di Gaza!!!Dimanakah kita???


Itulah serba sedikit dari kisah takjub yang sempat diceritakan oleh al-fadhil Ustaz Abdullah Zaik setelah berada lebih seminggu di Gaza atas misi kemanusiaan.Ia kisah benar yang perlu umat Islam ketahui. Allahu Akbar!!!

Read More......

Ibu Mithali oleh Norashimah Hashim

PENERIMA ketiga berjalan perlahan-lahan turun dari pentas. Di
lehernya, telah terkalung pingat "Ibu Misali". Tangan kanannya
menggenggam erat satu sampul dan segulung sijil. Tangan kirinya pula
memegang beberapa hadiah iringan. Anaknya setia melangkah di sisi.
"Sekarang ...," suara pengacara majlis bergema kembali, "Tibalah kita
kepada penerima anugerah "Ibu Misali" yang terakhir. Penerima ini agak
lain daripada yang lain dan sungguh istimewa. Untuk itu, dipersilakan
Puan Afifah Rashid naik ke pentas bersama- sama Cik Nurul Humairah,
untuk tampil memperkenalkan ibunya. Dipersilakan. "

Mataku tercari-cari pasangan ibu dan anak yang bakal mengambil tempat
itu. Di barisan penonton paling hadapan, aku dapati seorang anak gadis
berkulit hitam manis dan bertubuh tinggi lampai, sedang
berusaha memujuk seorang wanita dalam lingkungan usia 60-an untuk
bangun. Aneh, kenapa ibu yang seorang ini nampaknya begitu keberatan
untuk naik ke pentas? Kenapa dia tidak seperti tiga orang penerima
sebelumnya, yang kelihatan begitu bangga menapak naik ke pentas,
sebaik sahaja mereka dijemput?

Hampir lima minit kemudian, barulah tampak si anak gadis yang memakai
sepasang kebarung bertanah ungu dan berbunga merah jambu serta
bertudung ungu kosong, bersusah payah memimpin ibunya naik ke pentas.
Ibu itu pun menduduki kerusi yang telah diduduki oleh tiga orang
penerima sebelumnya. Anak gadis itu kemudiannya beredar ke pembesar
suara. Dia beralih pandang kepada ibunya yang hanya tunduk memerhati
lantai pentas.

'Pelik sungguh ibu yang seorang ini. Lagaknya bukan lagak orang yang
akan menerima anugerah. Dia tak ubah seperti seorang pesalah yang
sedang menanti hukuman. Duduknya serba tak kena. Sekejap beralih ke
kanan, sekejap berpusing ke kiri. Tangannya menggentel-gentel baju
kurung biru muda yang dipakainya.'

Dehem si anak dalam pembesar suara membuat aku sedikit tersentak.
Tumpuanku yang sekian lama terhala ke pentas, aku alihkan pada buku
notaku. Aku menconteng-conteng helaian yang masih putih bersih itu
untuk memastikan penku dalam keadaan yang baik. Kemudian, aku
memeriksa kameraku. Filemnya masih ada. Baterinya masih dapat
bertahan. Sempat juga aku mengerling rakan-rakan wartawan dari
syarikat akhbar dan majalah lain yang duduk di kiri kananku.
Nampaknya, pen sudah berada dalam tangan masing-masing. Mata mereka
sudah terarah kepada ibu di atas pentas dan anak yang sudah pun
memulakan bicaranya dengan bismillah dan, memberi salam.

Aku tersenyum dan mengangguk kepada rakan- rakan wartawan yang duduk
semeja denganku. Tetapi, senyuman dan anggukanku sudah tidak sempat
mereka balas. Aku lantas mengemaskan dudukku mencari posisi yang
paling selesa.

"Pertama sekali, saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah,
kerana dengan izin-Nyalah saya dan, mak berada dalam majlis yang
gilang-gemilang ini. Seterusnya, saya ingin merakamkan penghargaan
saya kepada pihak penganjur yang telah mempertimbangkan mak saya
sebagai, salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini."



Suasana menjadi sunyi. Hadirin memberi tumpuan sepenuhnya kepada
percakapan gadis itu.

"Sebetulnya, ketika saya kecil, saya memang membenci mak. Darjah
kebencian itu meningkat setelah saya mendapat tahu Puan Afifah
hanyalah mak angkat saya. Pada masa yang sama, saya merasakan sayalah
anak yang paling malang, disisihkan oleh ibu sendiri, dan
diperhambakan pula oleh mak angkat untuk membantu menjaga anak-anak
kandungnya."

"Membantu menjaga anak- anak kandungnya? Mungkin, persoalan itu sedang
pergi balik dalam benak tuan-tuan dan puan-puan sekarang. Persoalan
itu pasti akan terjawab sebentar lagi, apakala saya mempertontonkan
rakaman video yang memaparkan kehidupan anakanak kandung mak. Sebelum
itu, saya harus menegaskan bahawa anak-anak yang bakal hadirin lihat
nanti bukan terdiri daripada doktor, peguam, jurutera, pensyarah, ahli
perniagaan, pemimpin masyarakat, dan guru, seperti mana anak
ketiga-tiga "Ibu Misali" yang baru menerima anugerah sebentar tadi."

Suara hadirin yang kehairanan mula kedengaran.

"Inilah dia abang-abang dan kakak- kakak saya!" suara hadirin semakin
kedengaran. Mereka tidak dapat membendung rasa kekaguman.

"Yang mengeluarkan berbagai-bagai bunyi itu, Abang Long. Yang sedang
merangkak ke sana ke mari itu, ialah Kak Ngah. Yang sedang mengesot ke
ruang tamu itu, ialah Abang Alang. Yang sedang berjalan sambil berpaut
pada dinding itu, ialah Kak Anjang. Yang sedang berjalan jatuh dari
dapur ke dalam bilik itu, ialah Abang Andak."

"Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan, tahap kecacatan
fizikal dan mental abang abang dan, kakak-kakak saya tidak sama.
Daripada yang tidak boleh bercakap dan bergerak langsung, seperti bayi
yang baru lahir hinggalah kepada yang boleh berjalan jatuh dan,
bercakap pelat-pelat, seperti budak berumur satu atau, dua tahun."

Hadirin yang sebentar tadi bingit suaranya kini terdiam kembali.
Mereka menonton video yang sedang ditayangkan itu dengan khusyuknya.

"Untuk pengetahuan semua, abang-abang dan kakak-kakak saya, telah
menjangkau usia 20-an dan, 30-an. Namun, meskipun telah dilatih dengan
sungguh-sungguh, mereka masih belum pandai mengurus makan minum dan
berak kencing mereka sendiri. Lihatlah betapa sukarnya mak hendak
melayan makan dan, pakai mereka."

"Sewaktu saya berusia enam atau, tujuh tahun, saya sering mencemburui
abang-abang, dan kakak-kakak kerana mereka, mendapat perhatian
istimewa daripada mak. Saya iri hati melihat mak memandikan mereka.
Saya sakit hati melihat mak menyuap mereka. Sedang saya disuruh buat
semua itu sendiri."

"Mirah dah besar, kan? Mirah dah boleh uruskan diri Mirah sendiri,
kan?" Lembut nada suara mak tiap kali dia memujuk saya. Namun,
kelembutan itu telah menyemarakkan api radang saya.

"Tapi, mak tak adil!" Saya kerap membentak. "Mak buat segala galanya
untuk kakak- kakak dan abang- abang. Kalau untuk Mirah, mak selalu
berkira!"

"Mirah, abang-abang dan kakak-kakak Mirah tidak secerdas Mirah. Mereka
cacat!" Berkali-kali mak menegaskan kepada saya. "Sebab itulah mak
terpaksa membantu mereka."

"Mereka cacat apa, mak?" Saya membeliakkan mata kepada mak. "Semua
anggota mereka cukup. Kaki dan tangan mereka tidak kudung. Mata mereka
tidak buta. Yang betulnya, mereka malas, mak!"

"Mirah ... Mirah belum faham, sayang." Suara mak akan menjadi sayu
tiap kali dia mempertahankan kakak-kakak dan abang-abang saya. Tetapi,
kesayuan itu tidak pernah mengundang rasa simpati saya. Apabila
difikirkan kembali, saya merasakan tindakan saya itu terlalu bodoh.
Abang-abang dan kakak-kakak tak pernah kacau saya. Mak pun Cuma
sekali-sekala saja meminta bantuan saya menyuapkan mereka makan atau
menukar kain lampin mereka. Itu pun saya tidak pernah ikhlas menolong.
Saya akan merungut tidak henti-henti sepanjang masa saya melakukan
itu. Jika makanan yang saya suap tumpah atau jika abang-abang dan
kakak-kakak terkencing atas tangan saya, ketika saya sedang menyalin
kain lampin mereka, tangan saya ringan saja mencubit atau menampar
mereka. Saya tahu mereka tidak pandai mengadu perbuatan jahat saya
kepada mak. Ketika itu, memang saya langsung tidak punya rasa hormat
kepada abang-abang dan kakak-kakak. Kepada saya, kehadiran mereka
menyusahkan hidup saya.

"Hantarlah abang-abang dan kakak-kakak ke rumah kebajikan, mak." Saya
pernah mengusulkan kepada mak, ketika saya berusia sepuluh tahun.
"Lepas itu, mak dan ayah boleh hidup senang-lenang macam mak dan ayah
orang lain. Mirah pun takkan rasa terganggu lagi."

"Mereka anak-anak mak, Mirah. Jadi, maklah yang patut jaga mereka,
bukan petugas-petugas di rumah kebajikan." Begitu reaksi mak setiap
kali saya mencadangkan hal itu.

"Saya langsung tidak menghormati, apatah lagi mengagumi pendirian mak.
Mak memang sengaja menempah masalah. Mak tidak menghargai jalan keluar
yang telah sedia terentang di hadapannya."

"Rasa geram dan marah saya sampai ke puncaknya, semasa saya berusia
dua belas tahun. Pada hari itu, mak demam teruk hingga tidak dapat
bangun. Ayah terpaksa ambil cuti untuk membawa mak ke klinik.
Lalu,saya ditinggalkan untuk menjaga abang-abang dan kakak-kakak di
rumah. Sebelum meninggalkan rumah, biarpun dalam keadaan yang
lemah,berkali-kali mak sempat berpesan kepada saya, agar jangan lupa
memberi abang-abang dan kakak-kakak makan, dan menukar kain lampin
mereka."

Suasana dewan terus sunyi. Hadirin masih khusyuk mendengar cerita
gadis itu. "Itulah kali pertama saya ditinggalkan bersama-sama
abang-abang dan kakak-kakak, selama lebih kurang lima jam. Jangka masa
itu cukup menyeksakan. Kebetulan pada hari itu, abang-abang dan
kakak-kakak benar-benar mencabar kesabaran saya. Entah mengapa Abang
Long enggan makan. Jenuh saya mendesaknya. Abang Alang dan Kak Ngah
pula asyik mencirit saja. Letih saya menukar kain lampin mereka. Abang
Andak pula, asyik main air ketika saya memandikannya. Basah lencun
baju saya dibuatnya. Kak Anjang pula, asyik sepahkan nasi dan
tumpahkan air. Penat saya membersihkannya. "

"Apabila mak dan ayah pulang, saya sudah seperti kain buruk, tubuh
saya lunyai. Saya sudah tidak berupaya melihat muka mak dan ayah. Saya
terus melarikan diri ke rumah ibu kandung saya, yang terletak di
sebelah rumah mak. Begitulah lazimnya. Apabila fikiran saya terlalu
kacau, saya akan ke rumah ibu untuk mencari ketenangan."


"Ibu!" Saya menerpa masuk lalu memeluk ibu. "Kenapa ibu bagi Mirah
kepada mak? Kalau ya pun ibu tidak suka Mirah, bagilah Mirah pada
orang lain yang lebih menyayangi Mirah, bukan mak."

"Mirah!" Ibu merangkul saya. "Kan dah berkali-kali ibu tegaskan yang
ibu bagi Mirah kepada mak bukan kerana ibu tak sayang Mirah."

"Lazimnya ibu akan membuka kembali lipatan sejarah hidupnya apabila
situasi itu berlaku. Ibu ialah kakak mak. Ibu sakit teruk setelah
melahirkan saya. Selama berbulan-bulan ibu terlantar di hospital, mak
yang telah menjaga saya. Setelah ibu sembuh, ibu dapat lihat sendiri
betapa gembiranya mak dapat menjaga seorang anak normal. Justeru, ibu
tidak sampai hati hendak memisahkan kami."

"Ibu telah berasa betapa nikmatnya menjaga tujuh orang anak yang
pintar dan cerdas. Jadi, biarlah nikmat itu turut dirasakan oleh mak
pula dengan menjaga Mirah. Lagipun, dengan menyerahkan Mirah
kepada mak, ibu masih dapat melihat Mirah membesar di hadapan mata
ibu, walaupun Mirah tinggal bersama-sama mak. Dari pemerhatian ibu,
ibu rasa, mak lebih menyayangi Mirah berbanding dengan anak anaknya
yang lain."

"Sayang apa? Ibu tahu tak yang rumah tu macam neraka bagi Mirah? Ibu
tahu tak yang Mirah ni tak ubah seperti hamba di rumah tu?"

"Jangan besar-besarkan perkara yang kecil, Mirah. Ibu tahu
sekali-sekala saja mak membebankan Mirah dengan kerja-kerja rumah dan
tugas menjaga abang-abang dan kakak-kakak Mirah. Itu pun Mirah buat
tidak sesungguh hati. Nasi mentahlah, lauk hanguslah, abang-abang, dan
kakak-kakak kena lempanglah."

"Mak adu semua kepada ibu, Ya?" Saya masih mahu berkeras meskipun saya
tahu saya bersalah.

"Mak jarang-jarang mengadu keburukan Mirah kepada ibu. Ibu sendiri
yang kerap mengintai Mirah dan melihat bagaimana Mirah melaksanakan
suruhan mak."

"Saya tunduk. Saya sudah tidak sanggup menentang mata ibu."
"Ibu malu, Mirah. Ibu mengharapkan kehadiran Mirah di rumah mak kau
itu dapat meringankan penderitaan mak. Tetapi, ternyata kehadiran
Mirah di rumah itu menambahkan beban mak."

"Saya benar-benar rasa terpukul oleh kata-kata ibu."

"Ibu rasa, apa yang telah mak beri kepada Mirah, jauh lebih baik
daripada apa yang diberi kepada anak-anaknya sendiri. Mirah dapat ke
sekolah. Kakak-kakak dan abang-abang Mirah hanya duduk di rumah. Mirah
dapat banyak pakaian cantik. Sedang anak-anak mak yang lain pakaiannya
itu-itulah juga. Setiap kali Mirah berjaya dalam peperiksaan, mak
sungguh gembira. Dia akan meminta ibu tolong menjaga abang-abang dan
kakak-kakak kerana dia nak lihat Mirah terima hadiah."

"Saya tidak sanggup mendengar kata-kata ibu selanjutnya, bukan kerana
saya tidak mengakui kesalahan saya, tetapi kerana saya benar-benar
malu. Saya meninggalkan rumah ibu bukan kerana berasa tersisih
daripada ibu kandung sendiri, atau berasa kecewa sebab tidak mendapat
pembelaan yang diharap- harapkan. Saya meninggalkan rumah ibu dengan
kesedaran baru. Sesampainya saya ke rumah tempat saya berteduh selama
ini,saya dapati mak yang belum sembuh betul sedang melayan kerenah
abang-abang dan kakak-kakak dengan penuh sabar. Saya terus
menghilangkan diri ke dalam bilik kerana saya dihantui oleh rasa
bersalah. Di dalam bilik, saya terus resah-gelisah. "
"Mirah," panggilan lembut mak seiring dengan bunyi ketukan di pintu
bilik saya. "Mirah."

"Saya cepat-cepat naik ke atas katil dan memejam mata, pura-pura
tidur. Sejurus kemudian, terdengar bunyi pintu bilik saya dibuka.
"Mirah dah tidur rupa-rupanya! Kesian. Tentu Mirah letih menjaga
abang-abang dan kakak- kakak semasa mak, ke klinik siang tadi. Maafkan
mak, sayang. Mak tahu Mirah masih terlalu muda untuk memikul beban
seberat itu. Tapi, keadaan benar- benar terdesak pagi tadi, Mirah. Mak
janji, lain kali mak tak akan kacau Mirah lagi. Mak akan meminta ibu
atau orang lain menjaga abang- abang dan kakak-kakak kalau mak
terpaksa tinggalkan rumah"

Sepanjang mak berkata-kata itu, tangan mak terus mengusap-usap dahi
saya. Suara mak tersekat-sekat. Saya terlalu ingin membuka mata dan
menatap wajah mak ketika itu.

"Mirah, mak tahu Mirah tak bahagia tinggal bersama-sama mak."

Suatu titisan air mata gugur di atas dahi saya. Kemudian, setitik lagi
gugur di atas pipi saya. Selepas itu, titisan-titisan itu kian rancak
gugur menimpa serata muka dan leher saya.

"Walau apa pun tanggapan Mirah kepada mak, bagi mak, Mirah adalah
segala-galanya. Mirah telah menceriakan suasana dalam rumah ini. Mirah
telah menyebabkan mak berasakan hidup ini kembali berharga. Mirah
telah...."

"Mak!" Saya lantas bangun lalu memeluk mak. Kemudian, tiada kata-kata
yang lahir antara kami. Yang kedengaran hanyalah bunyi sedu-sedan dan
esak tangis.

Peristiwa pada hari itu dan, pada malamnya telah mengubah pandangan
saya terhadap mak, abang-abang dan kakak-kakak. Saya mula merenung dan
menilai keringat mak. Saya mula dapat menerima keadaan kakak-kakak dan
abang-abang serta belajar menghormati dan, menyayangi mereka.

Keadaan dewan menjadi begitu sunyi seperti tidak berpenghuni sejak
gadis itu berbicara. Setelah meraih kejayaan cemerlang dalam
peperiksaan penilaian darjah lima, saya telah ditawarkan untuk
melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah, di sebuah sekolah
berasrama penuh. Saya telah menolak tawaran tersebut.

"Kenapa Mirah tolak tawaran itu? Bukankah di sekolah berasrama penuh
itu Mirah boleh belajar dengan sempurna?"

"Betul tu, Mirah. Di sana nanti Mirah tak akan berdepan dengan
gangguan daripada abang-abang dan kakak-kakak! "

"Mirah tak menyesal ke, kemudian hari nanti?" Bertubi-tubi mak dan
ayah menyoal. Mata mereka tidak berkelip-kelip memandang saya.

"Mak, ayah." Saya menatap wajah kedua-dua insan itu silih berganti.
"Mirah ingin terus tinggal di rumah ini. Mirah ingin terus berdamping
dengan mak, ayah, abang-abang dan kakak-kakak. "

"Tapi, boleh ke Mirah buat ulang kaji di rumah? Pelajaran di sekolah
menengah itu, bukannya senang." Mak masih meragui keupayaan saya.

"Insya-Allah, mak. Mirah rasa, Mirah dapat mengekalkan prestasi Mirah
semasa di sekolah menengah nanti," balas saya penuh yakin.

Mak dan ayah kehabisan kata-kata. Mulut mereka terlopong. Mata mereka
terus memanah muka saya. Garis-garis kesangsian masih terpamer pada
wajah mereka. Sikap mak dan ayah itu telah menguatkan azam saya untuk
terus menjadi pelajar cemerlang, di samping menjadi anak dan adik yang
baik. Selama di sekolah menengah, mak sedapat mungkin cuba membebaskan
saya daripada kerja kerja memasak dan mengemas rumah, serta tugas
menjaga makan pakai abang-abang dan kakak-kakak kerana takut pelajaran
saya terganggu. Sebaliknya saya lebih kerap menawarkan diri untuk
membantu, lantaran didorong oleh rasa tanggungjawab dan timbang rasa.

Gadis yang bernama Nurul Humairah itu terus bercerita dengan penuh
semangat, apabila melihatkan hadirin di dalam dewan itu mendengar
ceritanya dengan penuh minat.

"Saya terpaksa juga meninggalkan rumah sewaktu saya melanjutkan
pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Di sana saya membuat
pengkhususan dalam bidang pendidikan khas. Bidang ini sengaja saya
pilih kerana saya ingin menabur bakti kepada segelintir pelajar yang
kurang bernasib baik. Di samping itu, pengetahuan yang telah saya
peroleh itu, dapat saya manfaatkan bersama untuk abang-abang dan
kakak-kakak. "

"Kini, telah setahun lebih saya mengharung suka duka, sebagai seorang
guru pendidikan khas di kampung saya sendiri. Saya harus akui,segulung
ijazah yang telah saya miliki tidak seberapa nilainya, berbanding
dengan mutiara-mutiara pengalaman yang telah mak kutip sepanjang
hayatnya." Sekarang, saya lebih ikhlas dan lebih bersedia untuk
menjaga abang-abang dan kakak-kakak. Pun begitu, hati ini sering
tersentuh apabila beberapa kali saya terdengar perbualan mak dan
Ayah."

"Apa akan jadi kepada kelima-lima orang anak kita itu lepas kita tak
ada, bang?" suara mak diamuk pilu.
Ayah akan mengeluh, kemudian berkata, "Entahlah. Takkan kita nak
harapkan Mirah pula?"
"Mirah bukan anak kandung kita." Mak meningkah. "Kita tak boleh
salahkan dia kalau dia abaikan abang-abang dan kakak-kakaknya."

"Mirah nak tegaskan di sini, mak, yang Mirah akan membela nasib
abang-abang dan, kakak-kakak lepas mak dan ayah tak ada. Ya, memang
mereka bukan saudara kandung Mirah. Tapi, tangan yang telah membelai
tubuh Mirah dan tubuh mereka adalah tangan yang sama. Tangan yang
telah menyuapkan Mirah dan mereka, juga tangan yang sama. Tangan yang
memandikan Mirah dan mereka, adalah tangan yang sama, tangan mak."

Kelihatan gadis yang berkebarung ungu, berbunga merah jambu itu,
tunduk sambil mengesat air matanya dengan sapu tangannya. Kebanyakan
hadirin, khususnya wanita turut mengesat air mata mereka. Gadis itu
menyambung bicaranya. Tiga bulan lalu, saya terbaca mengenai
pencalonan anugerah "Ibu Misali" dalam akhbar. Saya terus mencalonkan
mak, di luar pengetahuannya. Saya pasti, kalau mak tahu, dia tidak
akan merelakannya. Saya sendiri tidak yakin yang mak akan terpilih
untuk menerima anugerah ini, sebab anak- anak mak bukan terdiri
daripada orang-orang yang disanjung masyarakat, seperti lazimnya anak-
anak "Ibu Misali" yang lain. "Lorong dan denai kehidupan yang
orang-orang seperti mak lalui mempunyai banyak duri dan, ranjau
berbanding dengan ibu-ibu lain. Betapa keimanan mak tidak tergugat
biarpun berdepan dengan dugaan yang sebegini hebat. Tiada rasa kesal.
Tiada rasa putus asa. Tidak ada salah-menyalahkan antara mak dan
ayah."

"Maafkan Mirah sekali lagi, mak. Hingga ke saat- saat terakhir tadi,
mak masih tidak menyenangi tindakan Mirah mencalonkan mak, untuk
menerima anugerah ini. Mak merasakan diri mak terlalu kerdil
lebih-lebih lagi setelah mak mendengar pengisahan "Ibu Misali"
pertama, kedua dan ketiga. Berkali-kali mak tegaskan yang mak menjaga
anak-anak mak bukan kerana mahukan anugerah ini, tapi kerana anak-anak
adalah amanah Tuhan."

"Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya mencalonkan mak untuk
anugerah ini, bukan dengan tujuan merayu simpati. Saya Cuma berharap
kegigihan dan ketabahan mak akan dapat direnung oleh ibu-ibu lain,
terutama ibu-ibu muda yang senang-senang mendera dan mencampakkan anak
mereka yang cornel, segar-bugar serta sempurna fizikal dan, mental."

"Sebagai pengakhir bicara, sekali lagi saya ingin merakam penghargaan
saya kepada pihak penganjur, kerana telah mempertimbangkan mak saya
sebagai salah seorang penerima anugerah "Ibu Misali" tahun ini. Semoga
pemilihan mak ini akan memberi semangat baru kepada ibu-ibu lain yang
senasib dengan mak."

"Sekian, wassalamualaikum warahmatullah. "

Gadis itu beredar meninggalkan pembesar suara. Penku telah lama
terbaring. Buku notaku telah lunyai dek air mataku sendiri. Bahuku
dienjut-enjut oleh sedu- sedanku. Pandanganku menjadi kabur. Dalam
pandangan yang kabur-kabur itu, mataku silau oleh pancaran cahaya
kamera rakan semejaku. Aku segera mengangkat kameraku dan menangkap
gambar secara rambang tanpa mengetahui sudut mana atau, apa sebenarnya
yang telah menarik perhatian wartawan-wartanan lain.

'Bertenang. Kau di sini sebagai pemberita. Kau seharusnya berusaha
mendapat skop yang baik, bukan dihanyutkan oleh perasaan kau sendiri.'
Terdengar pesanan satu suara dari dalam diriku.

Lantas, aku mengesat air mataku. Aku menyelak buku notaku mencari
helaian yang masih belum disentuh oleh air mataku. Aku capai penku
semula.

"Demikianlah kisah pelayaran seorang ibu di samudera kehidupan yang
tidak sunyi dari ombak dan badai. Sekarang, dijemput Yang Berbahagia
Puan Sri Salwa Najwa dengan diiringi oleh Pengerusi Jawatankuasa
Pemilihan "Ibu Misali" untuk menyampaikan anugerah "Ibu Misali" serta
beberapa hadiah iringan kepada Puan Afifah Rashid. Yang Berbahagia
Puan Sri dipersilakan."

Nurul Humairah membantu maknya bangun. Kemudian, dia memimpin maknya
melangkah ke arah Yang Berbahagia Puan Sri Salwa Najwa. Lutut maknya
menggeletar. Namun begitu kerana dia tidak berdaya menahan perasaannya
dia terduduk kembali di atas kerusi. Melihatkan itu, Yang Berbahagia
Puan Sri Salwa Najwa sendiri dating mendapatkan Puan Afifah, lalu
mengalungkan pingat itu. Setelah itu, beliau menyampaikan beberapa
hadiah iringan. Air mata Puan Afifah berladung. Tepukan gemuruh
bergema dari segenap penjuru dewan. Sejurus kemudian, seorang demi
seorang penerima anugerah "Ibu Misali" sebelumnya, naik ke pentas
bersalaman dan berpelukan dengan Puan Afifah. Bertambah lebatlah hujan
air mata penerima anugerah "Ibu Misali" yang terakhir itu.

Read More......

Mencintai=Melindungi oleh Han Ri

Saya tidak ingin berbicara akan definisi cinta. Anda semua boleh mentafsirkan dan mentakwilkannya mengikut kata hati masing-masing. Jika anda masih tidak tahu apakah ia, rujuklah kitabullah dan tafsirannya. Dr. Abdullah Nasih 'Ulwan di dalam tulisannya, Al-Islam wal-Hubb (Islam and Love) sudah menerangkan dengan seberapa perinci tentang peri perkara ini. Menurut Syeikh Atiyyah Saqr, cinta itu suci. Cinta dalam bentuk apapun dibolehkan oleh syarak asalkan tidak dikotori dengan niat atau aksi yang kotor, dan ia mestilah tidak bercanggah dengan hukum-hukum syarak, serta diiringi dengan cinta yang diredhai-Nya

.

Tapi adakah kita tahu apa yang tersirat di sebalik citra ini?


Berfirman Allah di dalam kitab agung-Nya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." (At-Tahriim: 6)

Di sebalik cinta itu terpalit suatu tanggungjawab yang amat besar. Cinta bukan sekadar suatu perasaan, bahkan, lebih besar, ia merupakan suatu bebanan yang hanya segelintir orang menyedarinya. Mereka yang tahu akan hakikat ini, cinta mereka adalah sangat kukuh dan ampuh. Mereka tidak memikul bebanan ini kerana keterpaksaan, bahkan merasakan ia adalah amanah daripada Yang Maha Tinggi.

Berbeza dengan mereka yang mencintai kerana nafsu, orang-orang yang menyedari bahawa 'mencintai adalah melindungi', punyai keberanian yang tinggi, semangat juang yang tidak mudah patah, azam yang kuat dan tidak terkalahkan, serta sanggup melakukan apa sahaja untuk apa yang mereka dambakan.

Ambil contoh paling mudah. Rasullah SAW mencintai umat baginda. Andailah tiada perasaan cinta di hati baginda, adakah anda mampu membayangkan bagaimana keadaan umat Islam hari ini? Kerana cinta kepada Islam dan cinta baginda kepada ummat, baginda sanggup berjuang redahi lautan keperitan dan kepayahan untuk mempertahankan Islam. Sedang di waktu tibanya baginda kembali ke sisi-Nya, baginda masih lagi terfikirkan akan umatnya, dan tika merasakan sakitnya akan nyawa ditarik dari badan, baginda berkata: Timpakan saja semua seksa ini kepadaku, jangan kepada umatku. Contoh agung yang kekal sepanjang zaman.

Adakah mungkin di zaman ini terdapat jiwa-jiwa yang mempunyai cinta seampuh nilai cinta Nabi kepada umatnya? Benarlah sabdanya yang mengatakan umat Islam sekarang hanya bagai buih di lautan. Percayalah. Mencintai adalah melindungi. Mencintai Allah dan rasul-Nya bermakna melindungi Islam juga Quran serta sunnah tinggalan baginda. Mencintai keluarga pula bermaksud melindungi mereka daripada dilontarkan ke Neraka. Bagaimana kita? Adakah kita sudah bersedia untuk cinta?


Read More......

Perasmian Blog

Syukur ke hadrat Illahi kerana limpah kurnianya serta nikmatnya, dapat saya menerbitkan blog ini. Blog ini bertujuan untuk menyampaikan permasalah yang berkaitan dengan umat Islam sama ada dari sudut akademik, ekonomi, sosial mahupun politik. Diharapkan blog ini dapat menyampaikan ilmu dan message yang berguna kepada pembaca-pembaca


Dengan lafaz "Bismillahirahmanirrahim" saya merasmikan blog ini 

Read More......